Assignment GKB

Penulisan Reflektif GKB (1053)

Oleh: Nazihah Shafiqah binti Jainal

Unit: PPISMP PAKK JUN 2013


    Saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana  kerja kursus Kemahiran Belajar (GKB 1053) yang diedarkan oleh pensyarah  Encik Hamzah bin Dollah  telah berjaya disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Ketika saya mendapat tugasan ini, saya merasakan tugasan ini sebagai satu bebanan. Tambahan pula saya tidak mempunyai pengalaman dalam menjalankan kerja kursus sebelum ini dan ini adalah pengalaman pertama saya sebagai seorang pelajar IPG dalam membuat tugasan ini. Walau bagaimanapun, bebanan ini tidak menghalang saya untuk menjalankan tugasan ini sebaliknya ia menjadi satu momentum bagi saya menyiapkan kerja kursus ini dengan sempurna. Untuk tugasan yang pertama ini, saya jadikan ia sebagai satu titik permulaan perjalanan saya sebagai seorang guru pada masa akan datang.

    Pertama sekali, diucapkan terima kasih kepada pensyarah pemimpin yang tidak lokek ilmu dalam membantu saya dan rakan seperjuangan dalam menjalankan kerja kursus ini untuk menghasilkan kerja yang berkualiti. Ucapan terima kasih juga kepada rakan-rakan saya yang turut membantu dalam berkongsi ilmu dan dapatan bahan yang dapat membantu penulis untuk mengolah sesuatu isu dengan lebih berkesan.

Variasi pengalaman dan input ilmiah yang saya alami dalam menghasilkan kerja kursus ini ialah semasa proses pencarian maklumat. Semasa proses ini berlaku, saya menggunakan medium internet dan buku ilmiah untuk mencari maklumat berkaitan teknologi maklumat.  Saya  melakukan pencarian maklumat dengan membuka laman web yang berbagai untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat bagi menjelaskan konsep tersebut dengan lebih jelas. Dalam proses untuk menghasilkan blog, saya telah mengaplikasikan semula apa yang saya telah pelajari mengenai Information and Communication Technology (ICT) semasa berada di sekolah menengah dahulu dalam kerja kursus ini. Secara tidak langsung, tugasan ini dapat meningkatkan lagi pengetahuan ICT saya dengan input-input baru yang saya dapati melalui Internet dan rakan-rakan saya yang turut membantu. Dalam penghasilan blog, memerlukan kreativiti saya untuk menyesuaikan reka bentuk blog saya dengan templat yang menarik dan sesuai, penambahan navigasi dan gadget yang sesuai seperti jam digital dan kalendar digital.

Selain itu, pengalaman semasa menjalankan kerja kursus ini khususnya dalam penulisan reflektif yang memerlukan saya membuat laporan mengenai maklumat tambahan yang diperolehi dan kelemahan dalam menjalankan kerja kursus ini. Penulisan reflektif ini telah membantu saya dalam menggunakan kosa kata, tatabahasa dan ejaan dengan betul dalam esei. Ia juga meningkatkan keupayaan saya untuk mengembangkan idea dengan jelas dan teratur.


Masalah yang saya hadapi semasa menghasilkan kerja kursus ini ialah kekangan masa dan kesibukan dengan komitmen lain. Setiap kursus memberikan tugasan untuk diselesaikan seperti pembentangan berkumpulan, ISL dan tugasan kerja kursus subjek lain. Dalam merangkumi permasalahan ini, saya telah membahagikan masa dengan efisien untuk setiap subjek agar setiap tugasan yang diberi dapat diselesaikan dengan baik dan dihantar tepat pada tarikh serahan kerja kursus. Hal ini kerana, sebagai seorang bakal guru kita seharusnya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dan seterusnya dapat menyelesaikan perkara tersebut. Andai cabaran dan bebanan ini sudah dirasakan berat, bagaimana pula untuk kita menghadapi jalan berliku untuk membentuk saf kepimpinan negara dalam melahirkan murid yang berdisiplin dan seimbang dari aspek rohani, intelek, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

 Selain itu, masalah lain yang saya hadapi ialah kekurangan maklumat dari sumber buku dan bahan ilmiah. Saya  mengatasi masalah ini dengan memperbanyakkan sumber dari web untuk menghasilkan blog dan penulisan reflektif yang baik.

Tugasan ini juga membantu saya mengurus masa dengan baik. Sebagai seorang pelajar IPG , pengurusan masa adalah perkara yang sangat penting yang perlu dititikberatkan.  Guru perlu melaksanakan tuntutan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan kadang kala terdapat sebahagian guru yang tidak pandai membahagikan masa antara kerjaya  dan keluarga atau sosial sehingga tugas yang diberikan tidak dapat diselesaikan tepat pada masanya. Kita sedia maklum bahawa guru di sekolah terlalu sibuk dengan tugas yang telah dibebankan ke atasnya. Saya melakukan pemerhatian berdasarkan ibu bapa saya yang kedua-duanya bekerja sebagai guru dan melihat mereka melakukan pelbagai tugas seperti aktiviti kokurikulum, pengurusan bilik darjah dan hal ehwal murid. Menurut Dr. Yusof al-Qardawi (1986:11), para ulama’ tafsir menyatakan  bahawa tujuan Allah S.W.T bersumpah dengan nama-nama makhluk ciptaanNya,  seperti bersumpah dengan nama-nama hari untuk menerangkan kepada manusia  supaya manusia menganggap betapa bernilai dan berharganya masa dalam  kehidupan dan kesan-kesan daripada peredaran masa. Pepatah Melayu telah
mengibaratkan “ Masa itu Emas ” . Beliau juga memetik Pepatah Arab iaitu

الوقت اكلس يف ان مل تقطعه قطعك
Maksudnya: “ Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya,
dia pula akan memotong kamu ”

Pepatah Melayu dan Pepatah Arab itu telah menjelaskan bahawa sebagai seorang bakal guru, kita seharusnya menghargai dan menguruskan masa dengan efisien dan bukannya datang ke sekolah hanya untuk berbual dengan guru lain.

       Input lain yang saya dapat ialah kemahiran dalam ICT. Kita sedia maklum bahawa ICT sangat penting dalam pendidikan secara terbuka, sistem pendidikan jarak jauh dan sistem pendidikan secara talain.  ICT juga memainkan peranan sebagai alat bantuan mengajar.  Teknologi seperti video, CD, DVD dan pendrive juga membantu menyimpan bahan pembelajaran dengan mudah dan senang di bawa ke mana-mana sahaja.  Penggunaan ICT atau bahan multimedia juga membantu pengajaran dengan menyelitkan unsur-unsur yang melibatkan penggunaan pelbagai deria seperti audio, grafik, animasi, video dan teks dalam satu medium komunikasi.  Proses penyampaian maklumat akan menjadi lebih efektif dan pelajar dapat menerima pelajaran dengan mudah. Kesimpulannya, setiap bakal guru termasuk diri saya perlulah mahir dalam penggunaan ICT untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.  Selain itu, input lain mengenai ICT yang saya dapat ialah mengenai penggunaan Microsoft Excel. Aplikasi ini memudahkan guru untuk membuat data-data mengenai penilaian dalam peperiksaan mahupun ujian. Perisian Microsoft Word dan Microsoft PowerPoint juga membantu guru untuk menyampaikan proses pembelajaran dengan lebih efisien.


Akhir sekali, penulisan refleksi ini merupakan pengalaman pertama saya dan di akui refleksi ini mampu memberi ruang dan peluang kepada saya untuk menimba  sebanyak mana ilmu bagi meningkatkan keupayaan diri saya, mendapat ilmu baru, lebih peka terhadap persekitaran , kerjaya sebagai seorang guru dan mengambil seberapa banyak ilmu yang berguna.  Saya harap  dapat menambahbaikan penulisan refleksi  ini dari masa ke semasa dan pengalaman yang dimiliki dalam menghasilkan kerja kursus ini dapat terus dikembangkan dan digunakan semaksimum mungkin serta diaplikasikan di sekolah nanti. Sekian.


SISTEM PENTAKSIRAN 


Salam alaik..
Hari ni nak kongsi tentang sistem terhadap pentaksiran iaitu sub topik dalam kemahiran belajar..

Maksud pentaksiran
Noraini Idris (2005) menyatakan pentaksiran merupakan sebahagian daripada aktiviti penilaian yang melibatkan suatu proses pengumpulan maklumat secara berterusan dengan tujuan untuk menguji hipotesis , membuat keputusan dan mengemukakan soalan.

Pentaksiran terbahagi kepada 3 iaitu:

PENTAKSIRAN SEBAGAI PEMBELAJARAN (ASSESMENT AS LEARNING)

Pentaksiran sebagai pembelajaran bermaksud proses membentuk dan menyokong metakognisi bagi setiap murid. Pentaksiran ini memberi tumpuan terhadap peranan murid sebagai penghubung yang kritikal antara pentaksiran dan pembelajaran. Apabila murid bersifat aktif, terikat dengan pembelajaran dan berupaya menjadi pentaksir yang baik, biasanya mereka memahami dan berupaya mengesan informasi dan maklumat, menghubungkaitkan informasi bermaklumat kepada pengetahuan berkaitan dan menggunakan untuk tujuan pembelajaran.

PENTAKSIRAN UNTUK PEMBELAJARAN ( ASSESMENT FOR LEARNING)

Pentaksiran untuk pembelajaran bermaksud membolehkan guru mendapat informasi bagi tujuan memodifikasikan dan mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ianya memaklumkan cara dan kaedah kebiasaan pembelajaran murid dan mengenal pasti corak serta jalan yang diambil oleh murid dalam pembelajaran mereka. Ia memerlukan rekabentuk yang teliti dari guru agar informasi hasilan keputusan dapat menentukan bukan sahaja apa yang diketahui oleh murid tetapi turut mendapat pandangan mendalam bagaimana, bila dan sama ada murid sudah boleh mengaplikasi apa yang mereka tahu atau pelajari dalam pembelajaran.

PENTAKSIRAN KEPADA PEMBELAJARAN ( ASSESMENT OF LEARNING)

Pentaksiran ini adalah berbentuk sumatif secara semulajadi dan digunakan untuk memastikan apa yang diketahui dan apa yang murid boleh lakukan, mendemostrasikan sama ada mereka berjaya mendapatkan atau memahami  kehendak hasilan kurikulum serta kebiasaannya, menunjukkan bagaimana mereka ditempatkan atau diletakkan dan dihubungkaitkan dengan yang lain. Guru memberi tumpuan dan penekanan dalam memastikan mereka menjalankan dan menggunakan pentaksiran bagi tujuan memberikan dan membekalkan kenyataan yang tepat dan bermakna terhadap kebolehan murid.


xoxo


No comments:

Post a Comment